Ibadah Qurban  

Posted in

Ibadah Qurban dilaksanakan oleh jutaan Ummat Islam setiap tahun semasa Hari Raya Aidul Adha sebagai tradisi tinggalan Nabi Ibrahim (AS) yang seterusnya disunnahkan oleh Nabi Muhammad (SAW). Sejarah disebalik penyembelihan haiwan ternakan semasa Qurban bermula apabila Nabi Ibrahim telah diuji oleh Allah SWT untuk membuktikan ketaatan baginda untuk menyembelih anaknya, Ismail (AS). Walaupun di dalam kebingungan, namun kedua-dua mereka tetap tekad melakukannya kerana ia adalah suruhan Allah. Sewaktu Nabi Ibrahim telahpun bersedia untuk menyembelih NAbi Ismail dan pisau yang dihunusnya hampir-hampir mengenai leher Nabi Ismail, Allah menggantikannya dengan seekor kambing biri-biri.

Di dalam Islam, Qurban ialah suatu ibadah yang dilaksanakan pada hari-hari Tasyrik (10, 11 atau 12 Zulhijjah) sempena Hari Raya Aidul Adha. Haiwan-haiwan ternakan akan disembelih dan seterusnya diagih-agihkan kepada pelaksana Qurban serta golongan faqir miskin yang memerlukan.

Allah (SWT) berfirman di dalam Al-Qur’an:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”(Al-Hajj:37)

Nabi Muhammad (SAW) pernah ditanya: "Apakah Qurban (Udhhiyyah)?” Baginda menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”

Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah subhanahu wa ta‘ala. ‘A’isyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

This entry was posted on Friday, 7 November 2008 at Friday, November 07, 2008 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment