KAUM TARTAR DI CRIMEA: Kajian Empirikal oleh Ursula Mollet  

Posted in

Kaum Tartar Crimea – Tidak Mudah Mengalah



Kaum Tartar merupakan antara sebahagian masyarakat bumiputera yang mengisi populasi penduduk di Ukraine. Lebih kurang 300 000 orang kaum yang tinggal menetap di Semenanjung Crimea yang terletak di bahagian utara Laut Hitam ini, merupakan penganut agama Islam Sunni dan berkomunikasi di dalam bahasa mereka sendiri yang sangat berhubung rapat dengan bahasa Turki.

Bilangan mereka tidak sampai pun satu peratus dari populasi Ukraine, namun angka ini semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga ke hari ini. Pasti ada hikmah besar di sebalik takdir yang menuntut kepulangan mereka dari Asia tengah di mana mereka telah dibuang negeri suatu ketika dahulu oleh Stalin semasa perang dunia kedua. Kembali ke tanah air di mana mereka sekali lagi berhadapan dengan ancaman perkauman, diskriminasi kaum serta kehidupan yang susah dan melarat benar-benar memberikan cabaran hebat kepada mereka yang ingin memulakan kehidupan baru di tanah air sendiri.

Oksana dan Natasha merupakan dua beradik, masing-masing berumur dalam lingkungan 50-an. Mereka berdua sedang menunggu bayaran bantuan bulanan yang diberikan oleh Badan Bukan Kerajaan di Pusat Komuniti Muslim Ar-Raid (Persekutuan Organisasi Sosial Ar-Raid Cawangan Crimea) di Simferopol.

Mereka adalah ibu tunggal dan tinggal bersama anak-anak serta kedua ibu bapa di dalam satu pondok yang kecil. Atas alasan kesihatan, mereka tidak boleh bekerja. Andai mereka boleh bekerja sekali pun, mereka tidak akan mendapat pekerjaan yang baik dengan gaji bulanan yang tetap.

“Selalunya pekerjaan begitu diberi kepada orang berbangsa Russia dan jika bernasib baik pun, mungkin mendapat pekerjaan bertaraf rendah dengan gaji yang sangat rendah walaupun mempunyai kelulusan”, kata salah seorang dari mereka.

Satu-satunya pendapatan tetap mereka 6 beranak ialah wang pencen bulanan kedua ibu bapa mereka sebanyak UAH 60 (10 USD). Tiada siapa pun yang boleh hidup dengan baik dengan wang sejumlah itu, walaupun harga makanan utama harian (seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil tenusu, dan roti) serta pengangkutan awam adalah agak murah.

“Pada mulanya, sewaktu kami kambali semula ke Crimea, kami terpaksa tinggal di dalam gerabak kereta api lama tanpa bekalan elektrik dan air. Kami tidak diberi pilihan lain, selain menerima seadanya. Lagipun, kami agak bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang lain. Kemudian, lebih kurang 9 tahun yang lalu, kami mula membina rumah sendiri”, kata Natasha “tetapi kami terpaksa berhenti kerana ketiadaan wang. Tanpa bantuan kewangan daripada Ar-Raid, kami mungkin tidak dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana anak perempuan saya kini dapat menyambung pelajarannya di kolej”, sambungnya lagi.

Kebanyakan daripada kaum Tartar yang menetap di Crimea pada hari ini adalah mereka yang pernah dibuang negeri ke Uzbekistan, Kazakhstan dan Russia oleh Stalin pada Mei 1944.
Dalam peristiwa tersebut, ribuan daripada mereka kehilangan nyawa, dan ramai juga yang kehilangan hak milik dan harta benda. Pada tahun1921, secara rasminya Crimea telah menjadi sebuah republik sosialis autonomos dan bergabung dengan Ukraine di bawah Soviet Union. Namun, beberapa tahun kemudian telah berlaku penempatan semula secara besar-besaran yang melibatkan sebahagian masyarakat Muslim di Crimea iaitu kaum Tartar.

Apabila tentera merah menawan semula Crimea pada tahun 1944, Stalin mendatangi kaum Tartar dan menuduh mereka bekerjasama dengan angkatan Hitler. Di sinilah bermula pembunuhan beramai-ramai bagi sesiapa yang tidak menurut arahan malah beribu-ribu lagi yang tidak berdosa telah dibuang negeri ke Asia Tengah, antaranya orang tua, wanita dan kanak-kanak. Manakala kaum lelaki Tartar pula dikerah tenaga mereka untuk turut serta dalam angkatan tentera Russia.

Kepulangan yang memilukan

Perpindahan semula itu sudah bermula sejak akhir 50-an lagi, akan tetapi kaum Tartar yang hidup di dalam buangan tiada hak untuk kembali ke tanah air mereka. Oleh sebab itu, mereka mula bersatu dan mengadakan demonstrasi menunjuk persaan serta menghantar envois ke Moscow untuk mendapatkan hak autonomi mereka dan permohonan pulang ke negara asal.

Malangnya semua usaha mereka tidak membuahkan hasil. Hanya pada sekitar tahun 1991 sahaja, setelah Ukraine mencapai kemerdekaan, kaum Tartar dibenarkan pualng ke tanah air mereka di Semenanjung Crimea yang pada waktu itu telah menjadi sebahagian dari Ukraine semenjak dari tahun 1954 lagi.

“Setelah kepulangan itu, ramai yang hidup dalam keadaan susah dan melarat”, cerita Moumina, seorang graduan ekonomi yang bekerja di Pusat Perjumpaan Ar-Raid sebagai sukarelawan memandangkan beliau tidak dapat mencari pekerjaan tetap di luar. “Di seluruh pekan, kemudahan yang disediakan amat teruk. Kanak-kanak jatuh sakit, segalanya tidak mencukupi”, kata beliau dengan hiba.

Sistem ekonomi dan infrastruktur sosial di Crimea yang agak berat sebelah itu (purata pendapatan bulanan adalah sekitar 100 USD) – sedikit sebanyak sepatutnya mampu menjanjikan kehidupan yang agak senang kepada mereka yang baru kembali ke tanah air. Akan tetapi, sekali lagi kaum Tartar menjadi mangsa kepada diskriminasi ini. Lebih kurang 80% daripada mereka adalah penganggur walaupun mempunyai tahap kelulusan pendidikan yang baik. Keadaan ini sering menyebakan berlakunya ketegangan antara kumpulan majoriti yang merupakan pro-Russia dan kumpulan Muslim minoriti yang merupakan pro-Ukraine.

Hak yang terbatas

Kaum Tartar Crimea mula mengumpul kekuatan dan sering bertemu di dalam perjumpaan-perjumpaan kecil yang dipanggil Mejlis dan juga Kurultai. Pada tahun 1991, sebuah Badan Perhimpunan Crimea Tartar Kebangsaan ditubuhkan dan dimasukkan di bawah perlembagaan Parlimen Crimea walaupun tidak mendapat kelulusan secara rasmi. Mereka dipimpin oleh seorang ketua bernama Bagrow. Melihatkan kekuatan politik badan ini semakin berkembang, Parlimen Ukraine telah membatalkan perlembagaan Crimea pada tahun 1995 dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah yang kukuh.

Pada hari ini, kaum Tartar masih mendapat tekanan daripada bangsa Russia yang merupakan penduduk majoriti, terutamanya mereka yang seringkali menegakkan kebenaran tanpa berputus asa. Salah seorang daripada mereka yang memberikan tentangan hebat pada sekitar tahun 90-an adalah Omerov. Antara tahun 1995 sehingga 2001, beliau bekerja sebagai penasihat dalam Program Integrasi dan Pembangunan Crimea Bangsa-bangsa Bersatu. Malangnya, beliau dan isterinya dibunuh di rumah mereka di di Simferopol pada malam 18/19 September 2004. Sewaktu pendakwaan terhadap kes bunuh tersebut dijalankan, para peguambela giat menjalankan siasatan untuk memastikan samada pembunuhan tersebut ada kaitan dengan konspirasi politik tertentu atau tidak.

Akhirnya setelah sekian lama berusaha, kaum Tartar menjadi putus asa dalam menuntut hak mereka. Walaupun merupakan kumpulan minoriti, mereka masih mahu mendapatkan hak kewarganegaraan Ukraine, mahu tanah-tanah mereka yang telah dirampas dipulangkan, mahu bahasa Tartar diperakui serta mahu adanya wakil politik dari kalangan mereka di dalam Parlimen. Sayangnya permintaan mereka selalu diketepi dan dibakulsampahkan.

Pada akhir bulan Oktober 2004 sehingga hampir kepada hari pengundian presiden Ukraine, ketegangan antara pro-Russia yang merupakan kumpulan majoriti dan Kaum Tartar amat membimbangkan.

Menurut akhbar Kiev Post bertarikh 30 September 2004, bukan sahaja bahan-bahan propaganda calon pro-barat dirampas, malah menurut Yulianna Vilkos di dalam akhbar yang sama, satu perempat dari penduduk Ukraine percaya bahawa serangan pengganas seperti di Beslan tidak mustahil akan berlaku di Ukraine. Tambahnya lagi, 50% penduduk Ukraine sepatutnya tahu bahawa tindakan keganasan ini ada kaitannya dengan penglibatan Ukraine dalam konflik di Iraq (Ukraine merupakan negara keempat terbesar yang menghantar tenteranya dalam misi ke Iraq) serta campur tangan kerajaan Ukraine dalam konflik Chechnya – Russia.

Ancaman perkauman secara terbuka dan senyap

Walaubagaimana sekalipun ancaman perkauman samada secara terbuka atau senyap itu mengganggu gugat kehidupan seharian mereka, dua wanita Ar-Raid, Olga dan Moumina terpaksa menelan pahit segalanya. Mereka menceritakan pengalaman pahit yang pernah menimpa mereka dalam suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Seperti beratus-ratus orang yang lainnya, mereka empat sekawan, dua bertudung dan dua lagi tidak, sedang menikmati keindahan panorama sambil berjalan-jalan di sepanjang pantai di Alushta yang terletak di Laut Hitam.

Kerana ingin menangkap gambar sebagai kenang-kenangan, mereka meminta pertolongan seorang wanita yang sedang duduk berehat di tepi pantai berhampiran untuk menangkap gambar mereka. Akan tetapi, sebaliknya wanita tersebut menjerit kepada mereka meminta agar menjauhkannya dari beg plastik yang dibawa oleh mereka kerana khuatir beg plastik tersebut mungkin mengandungi bahan letupan. Berasa sedih dan malu diperlakukan begitu, mereka berlalu pergi dan hilang selera untuk menikmati bekalan sandwich serta air jus yang dibawa di dalam beg plastik tersebut.

Usaha melawan kemiskinan dan Islamofobia

Kaum Tartar Crimea bukan sahaja menerima tekanan dari segi kewangan, akan tetapi mereka juga terpaksa berhadapan dengan propaganda Islamofobia yang tersebar luas.

Dalam usaha untuk memastikan bantuan kewangan tersebut benar-benar membantu keluarga yang berhak, pihak Ar-raid dengan sendirinya telah melawat dan melihat keadaan hidup keluarga Tartar Crimea yang amat mendukacitakan. Bersama-sama dengan pihak berwajib tempatan, mereka membuat senarai penduduk-penduduk termiskin untuk dihulurkan bantuan kewangan. Hubungan yang baik dengan organisasi sosial yang lain serta beberapa orang personaliti penting membolehkan Ar-raid mendapatkan sumbangan-sumbangan peribadi bagi membantu mereka yang memerlukan.

Setakat ini, Ar-Raid telah pun membantu 400 orang anak-anak yatim serta penjaga mereka di Crimea di samping menganjurkan lawatan tahunan serta aktiviti khemah ibadah musim panas untuk mereka. “Alhamdulillah, organisasi Ar-Raid ini telah memberikan banyak bantuan; ini adalah tanggungjawab kami sebagai saudara sesama Islam. Pencapaian terbaru kami kini masih di dalam pembinaan”, maklum Moumina bangga sambil menunjukkan kompleks bangunan baru yang sedang dibina di kawasan Ar-Raid yang berhampiran.

Pusat wanita yang baru itu, dibina atas inisiatif wanita Muslim Tartar, sudah mula beroperasi pada awal tahun 2005. Beberapa buah kelas, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika, dapur serta pusat penjagaan kesihatan badan dan dewan komuniti tersedia untuk kegunaan ahli. Kaum Tartar juga boleh belajar bahasa Tartar (yang tidak diajar di sekolah-sekolah di Ukraine) dan juga tradisi kebudayaan mereka di sini.

Seperti mereka yang lain, Oksana dan Natasha juga tertarik dengan tawaran daripada Ar-raid melalui iklan-iklan dari surat khabar. Berita tentang program-program kebajikan Ar-raid ini telah tersebar dengan cepat terutamanya di kalangan penduduk-penduduk miskin.

“ Sesiapa sahaja yang datang mengetuk pintu ini, akan dilayan. Kami tidak membezakan samada mereka penganut Kristian atau Muslim. Kriteria yang diberikan perhatian utama adalah kepada mereka amat memerlukan bantuan”, kata Moumina dengan yakin.

Sifat peramah dan keterbukaan ahli-ahli di Pusat Islam Ar-Raid jelas kelihatan di sebalik kehidupan seharian penduduk Kiev yang agak suram. Satu persoalan yang mungkin wujud iaitu adakah penduduk Muslim yang merupakan kumpulan minoriti akan bersatu dan diterima oleh penduduk Ukraine lainnya suatu hari nanti. Di sini juga kedengaran ungkapan stereotaip yang sering tercetus tentang badan pertubuhan Muslim seperti di tempat-tempat lain di dunia. Alangkah bagus andainya ungkapan “Oh, Organisasi Muslim…”, boleh bertukar menjadi sebuah kenyataan yang boleh boleh diterima oleh semua masyarakat.

Ursula Mollet, Osteuropa-Institut, Universitaet Fribourg (Switzerland)
Kiev, 7 Oktober 2004


Program-program kebajikan masyarakat

Bukanlah menjadi rahsia lagi bahawa setiap Muslim di Crimea amat memerlukan bantuan dan sokongan – terutamanya kaum Tartar. Atas bantuan kewangan dari Ar-Raid, kawasan penempatan Tartar di Republik Autonomos Crimea kini dilengkapi dengan kemudahan mata air yang digali bagi berbagai kegunaan terutamanya sebagai bekalan air minuman. Projek ini dijalankan kerana 40% dari mereka yang pulang tidak disediakan dengan kemudahan bekalan air yang bersih dan lengkap. Projek “Satu Keluarga satu Lembu” juga berjalan dengan lancar dan hampir 450 orang keluarga mendapat bekalan seekor lembu masing-masing dan berjanji akan memberikan baka lembu pertama yang lahir kepada mereka lain yang juga memerlukan. Selain daripada itu, stesen rawatan kecemasan di Bakhchisaray untuk lebih daripada 500 orang juga telah dibuka dan mula berfungsi. Bantuan yang berterusan juga diberikan kepada sekolah-sekolah di Crimea dalam menyediakan ubat-ubatan untuk stesen rawatan kecemasan masing-masing.

Baru-baru ini, Ar-Raid telah memulakan pembinaan rumah hijau di Crimea. Kini, telah hampir 12 buah rumah hijau dibina dan golongan yang memerlukan mempunyai peluang yang cerah untuk memulakan perniagaan serta mengungukuhkan kedudukan ekonomi mereka.

Di bawah kendalian organisasi ini, lebih daripada 600 orang anak yatim telah diberi bantuan dari segi keperluan harian dan sokongan moral. Berbagai aktiviti menarik seperti aktiviti berkelah serta khemah kebudayaan dan kesihatan musim panas dianjurkan dari masa ke semasa untuk mereka. Program-program kebajikan juga diadakan di rumah-rumah anak yatim seperti menyediakan bekalan lampin, pakaian panas, barangan permainan kanak-kanak dan pakaian-pakaian lainnya.

Tidak lupa juga kepada golongan kurang upaya dan orang-orang tua. Mereka juga menerima bantuan kemanusiaan dari masa ke masa. Mangsa-mangsa kemalangan di lombong Donbass juga diberi perhatian yang sewajarnya oleh organisasi ini.


This entry was posted on Monday, 17 November 2008 at Monday, November 17, 2008 and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment