Posted

Bismillah..

Penyertaan untuk Program Korban masih lagi berjalan walaupun hari mendatang sudah semakin dekat. 10 hari masa untuk kita menyumbangkan sedikit dari harta yang kita miliki untuk jalan Allah.

Dibawah jumlah yang diperolehi buat masa ini.

Lembu : 3 Ekor + 2 bahagian
Kambing : 17 Ekor

Antara yang menyumbang adalah Pelajar Crime State Medical University dan EZ Qurban, sebuah syarikat Korban dan Aqiqah yang popular di Malaysia.


5 Bahagian lembu lagi diperlukan untuk mencukupkan 4 ekor semuanya. Sementara ada masa, bolehlah sesiapa yang berkelapangan untuk menyumbangkan sedikit dari harta demi kepentingan dan kemenangan di dunia dan akhirat.

Harga Semasa
Kambing - 600 Griv Seekor
Lembu - 860 Sebahagian

Seeruu Ala BarakatillaH....
.



Pendaftaran Untuk Qurban 1430 Hijrah kini dibuka!!  

Posted

Assalamualaikum buat semua.


Kami dari QURBAN BAYRAM NETWORKING SERVICES ingin menjemput semua ummat Islam untuk menyertai Pro
gram Qurban Dan Aqiqah di Ukraine untuk Sessi 1430 Hijrah yang bertujuan untuk membantu saudara-saudara Muslim Tatar kita di Ukraine.

Untuk makluman semua, pada tahun ini, kami akan bekerjasama dengan EZQURBAN Sdn.Bhd , sebuah syarikat pengendali qurban & aqiqah professional di Malaysia.

Kadar Bayaran untuk Qurban & Aqiqah bagi tahun 1430 H adalah seperti berikut:

Lembu: RM 3 000.00 seekor , RM 430.00 sebahagian

Kambing: RM 400.00 seekor

Tarikh tutup penyertaan adalah selewat-lewatnya 17 November 2009!!

Untuk pendaftaran, sila hubungi saudara Faizal di talian:
+ 380638148334, E-mail: zouk_roy@yahoo.com

Sebarang bayaran hendaklah melalui Bendahari kami, Adam Bin Othman atau melalui akaun: ZARALISA ADRIL BT ISMAIL, Akaun Maybank No: 161202025999.

Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan berkenaan program ini bolehlah diajukan kepada:

  • Pengarah Program: Khairunnazren Bin Ismail (tel: +380935752745) serta
  • Timbalan Pengarah, Asrol Hafizi Bin Ab Majid (tel: +380631525280)

Bersama kita suburkan ukhuwwah sesama Ummat Islam dengan bersedekah dan menghidupkan amalan Qurban.


Sekitar Majlis Qurban 1429 Hijrah di Ukraine  

Posted

Tarikh: 09/12/2008 (Selasa)


Tempat: Simferopol, Crimea, Ukraine

Pengarah Projek: Mohd Afifi Shaifuddin

Pada pagi Hari Raya Aidil Adha Kedua 1429 Hijrah, buat julung kalinya ‘Majlis Perlaksanaan Qurban’ telah dianjurkan oleh Sekretariat Khidmat Rangkaian QURBAN -BAYRAM dengan sokongan Gabungan Mahasiswa Terengganu Eropah Timur (GAMTET), Kelab UMNO Ukraine (KUU) , Islamic Student Movement (ISIM) serta PAPISMA.

Para pelajar Malaysia dari Crimea State Medical University(CSMU) serta masyarakat Islam tempatan telah bertungkus lumus menumbangkan 4 ekor lembu dan 16 ekor kambing hasil sumbangan masyarakat Malaysia serta para pelajar sendiri.

Proses menyembelih, melapah, memotong, membungkus dan membahagi bermula seawal jam 8.30 pagi lagi dan berlanjutan hingga ke jam 7.00 malam. Sebahagian besar daripada daging Qurban itu telah dibahagi-bahagikan kepada faqir-miskin di kampung - kampung sekitar Simferopol.

Walaupun penat dan letih menghambat diri, namun senyuman kepuasan terukir di setiap wajah pelajar. Diharapkan ianya akan terus berkesinambungan sebagai tanda untaian kasih antara masyarakat Malaysia dan Ukraine.




bertungkus lumus menarik lembu


penyembelihan bermula


penyembelihan kambing oleh pelajar yang tak mampu nak sembelih lembu


melapah beramai-ramai


khusyuk melapah


Pengenalan  

Posted in

Semenjak tahun 2003, apabila pelajar Muslim Malaysia buat pertama kalinya menjejakkan kaki mereka di Simferopol, Ukraine, mereka telahpun bergaul dengan komuniti masyarakat di sini termasuklah dengan kaum Muslim Tatar Crimea. Daripada apa yang telah mereka lihat dan alami daripada siri kunjungan dan lawatan mereka, mereka dapati bahawa kaum Muslim Tatar amat jauh ketinggalan baik dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial berbanding dengan kaum-kaum lain di Ukraine walaupun jumlah keseluruhan mereka membentuk hampir 80 peratus daripada keseluruhan penduduk di Wilayah Autonomi Crimea, Ukraine.




Kemiskinan masih lagi menjadi masalah yang membelenggu masyarakat Muslim Tatar sementelahan mereka masih lagi bergelut untuk memenuhi keperluan asasi serta menyara kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi Ukraine turut tersenarai sebagai negara berpendapatan rendah pertengahan oleh Bank Dunia. Akibat diskriminasi, kebanyakan mereka hanya berupaya menjawat jawatan rendah dan berpendapatan purata sebanyak US$100 sebulan . Lebih malang lagi bagi golongan pesara dengan pencen hanya US$20 sebulan (Dibandingkan pendapatan mereka dengan harga daging bernilai US$12 sekilogram di pasaran, sekilogram daging bagi mereka ialah suatu nikmat yang amat besar!). Bagi sesetengah kawasan yang terlampau miskin, ibadah Qurban tidak dapat dijalankan kerana masing-masing tidak mempunyai kemampuan.




Memahami hakikat ini, pada 10 Oktober 2008, para pelajar Muslim Malaysia di Ukraine bersetuju untuk menubuhkan sebuah Sekriteriat Pelaksana Khidmat Rangkaian Aqiqah dan Qurban (QURBANBAYRAM) yang bertujuan untuk membantu masyarakat miskin Muslim di sini. Melalui program ini, para pelajar akan membantu mendapatkan sumbangan Aqiqah dan Qurban daripada seluruh dunia dan sumbangan itu seterusnya akan diagihkan kepada beberapa masjid dan kampung yang terpilih untuk menjalankan ibadah Qurban sempena Hari Raya Aidul Adha. Ia juga akan turut diagihkan kepada faqir miskin dan golongan yang memerlukan.



Program ini juga akan turut bekerjasama dengan organisasi antarabangsa seperti Foundation for Human Rights and Freedoms and Humanitarian Relief (IHH) dari Turkey dan Interregional Association of Public Organizations (IAPO) “ARRAID” yang telahpun berpengalaman menganjurkan program Qurban sebelum ini. Daripada kepakaran dan pengalaman mereka, diharapkan program ini akan menjadi suatu realiti.

KAUM TARTAR DI CRIMEA: Kajian Empirikal oleh Ursula Mollet  

Posted in

Kaum Tartar Crimea – Tidak Mudah Mengalah



Kaum Tartar merupakan antara sebahagian masyarakat bumiputera yang mengisi populasi penduduk di Ukraine. Lebih kurang 300 000 orang kaum yang tinggal menetap di Semenanjung Crimea yang terletak di bahagian utara Laut Hitam ini, merupakan penganut agama Islam Sunni dan berkomunikasi di dalam bahasa mereka sendiri yang sangat berhubung rapat dengan bahasa Turki.

Bilangan mereka tidak sampai pun satu peratus dari populasi Ukraine, namun angka ini semakin meningkat dari tahun ke tahun sehingga ke hari ini. Pasti ada hikmah besar di sebalik takdir yang menuntut kepulangan mereka dari Asia tengah di mana mereka telah dibuang negeri suatu ketika dahulu oleh Stalin semasa perang dunia kedua. Kembali ke tanah air di mana mereka sekali lagi berhadapan dengan ancaman perkauman, diskriminasi kaum serta kehidupan yang susah dan melarat benar-benar memberikan cabaran hebat kepada mereka yang ingin memulakan kehidupan baru di tanah air sendiri.

Oksana dan Natasha merupakan dua beradik, masing-masing berumur dalam lingkungan 50-an. Mereka berdua sedang menunggu bayaran bantuan bulanan yang diberikan oleh Badan Bukan Kerajaan di Pusat Komuniti Muslim Ar-Raid (Persekutuan Organisasi Sosial Ar-Raid Cawangan Crimea) di Simferopol.

Mereka adalah ibu tunggal dan tinggal bersama anak-anak serta kedua ibu bapa di dalam satu pondok yang kecil. Atas alasan kesihatan, mereka tidak boleh bekerja. Andai mereka boleh bekerja sekali pun, mereka tidak akan mendapat pekerjaan yang baik dengan gaji bulanan yang tetap.

“Selalunya pekerjaan begitu diberi kepada orang berbangsa Russia dan jika bernasib baik pun, mungkin mendapat pekerjaan bertaraf rendah dengan gaji yang sangat rendah walaupun mempunyai kelulusan”, kata salah seorang dari mereka.

Satu-satunya pendapatan tetap mereka 6 beranak ialah wang pencen bulanan kedua ibu bapa mereka sebanyak UAH 60 (10 USD). Tiada siapa pun yang boleh hidup dengan baik dengan wang sejumlah itu, walaupun harga makanan utama harian (seperti sayur-sayuran, buah-buahan, hasil tenusu, dan roti) serta pengangkutan awam adalah agak murah.

“Pada mulanya, sewaktu kami kambali semula ke Crimea, kami terpaksa tinggal di dalam gerabak kereta api lama tanpa bekalan elektrik dan air. Kami tidak diberi pilihan lain, selain menerima seadanya. Lagipun, kami agak bertuah jika dibandingkan dengan mereka yang lain. Kemudian, lebih kurang 9 tahun yang lalu, kami mula membina rumah sendiri”, kata Natasha “tetapi kami terpaksa berhenti kerana ketiadaan wang. Tanpa bantuan kewangan daripada Ar-Raid, kami mungkin tidak dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Saya amat berterima kasih kepada mereka kerana anak perempuan saya kini dapat menyambung pelajarannya di kolej”, sambungnya lagi.

Kebanyakan daripada kaum Tartar yang menetap di Crimea pada hari ini adalah mereka yang pernah dibuang negeri ke Uzbekistan, Kazakhstan dan Russia oleh Stalin pada Mei 1944.
Dalam peristiwa tersebut, ribuan daripada mereka kehilangan nyawa, dan ramai juga yang kehilangan hak milik dan harta benda. Pada tahun1921, secara rasminya Crimea telah menjadi sebuah republik sosialis autonomos dan bergabung dengan Ukraine di bawah Soviet Union. Namun, beberapa tahun kemudian telah berlaku penempatan semula secara besar-besaran yang melibatkan sebahagian masyarakat Muslim di Crimea iaitu kaum Tartar.

Apabila tentera merah menawan semula Crimea pada tahun 1944, Stalin mendatangi kaum Tartar dan menuduh mereka bekerjasama dengan angkatan Hitler. Di sinilah bermula pembunuhan beramai-ramai bagi sesiapa yang tidak menurut arahan malah beribu-ribu lagi yang tidak berdosa telah dibuang negeri ke Asia Tengah, antaranya orang tua, wanita dan kanak-kanak. Manakala kaum lelaki Tartar pula dikerah tenaga mereka untuk turut serta dalam angkatan tentera Russia.

Kepulangan yang memilukan

Perpindahan semula itu sudah bermula sejak akhir 50-an lagi, akan tetapi kaum Tartar yang hidup di dalam buangan tiada hak untuk kembali ke tanah air mereka. Oleh sebab itu, mereka mula bersatu dan mengadakan demonstrasi menunjuk persaan serta menghantar envois ke Moscow untuk mendapatkan hak autonomi mereka dan permohonan pulang ke negara asal.

Malangnya semua usaha mereka tidak membuahkan hasil. Hanya pada sekitar tahun 1991 sahaja, setelah Ukraine mencapai kemerdekaan, kaum Tartar dibenarkan pualng ke tanah air mereka di Semenanjung Crimea yang pada waktu itu telah menjadi sebahagian dari Ukraine semenjak dari tahun 1954 lagi.

“Setelah kepulangan itu, ramai yang hidup dalam keadaan susah dan melarat”, cerita Moumina, seorang graduan ekonomi yang bekerja di Pusat Perjumpaan Ar-Raid sebagai sukarelawan memandangkan beliau tidak dapat mencari pekerjaan tetap di luar. “Di seluruh pekan, kemudahan yang disediakan amat teruk. Kanak-kanak jatuh sakit, segalanya tidak mencukupi”, kata beliau dengan hiba.

Sistem ekonomi dan infrastruktur sosial di Crimea yang agak berat sebelah itu (purata pendapatan bulanan adalah sekitar 100 USD) – sedikit sebanyak sepatutnya mampu menjanjikan kehidupan yang agak senang kepada mereka yang baru kembali ke tanah air. Akan tetapi, sekali lagi kaum Tartar menjadi mangsa kepada diskriminasi ini. Lebih kurang 80% daripada mereka adalah penganggur walaupun mempunyai tahap kelulusan pendidikan yang baik. Keadaan ini sering menyebakan berlakunya ketegangan antara kumpulan majoriti yang merupakan pro-Russia dan kumpulan Muslim minoriti yang merupakan pro-Ukraine.

Hak yang terbatas

Kaum Tartar Crimea mula mengumpul kekuatan dan sering bertemu di dalam perjumpaan-perjumpaan kecil yang dipanggil Mejlis dan juga Kurultai. Pada tahun 1991, sebuah Badan Perhimpunan Crimea Tartar Kebangsaan ditubuhkan dan dimasukkan di bawah perlembagaan Parlimen Crimea walaupun tidak mendapat kelulusan secara rasmi. Mereka dipimpin oleh seorang ketua bernama Bagrow. Melihatkan kekuatan politik badan ini semakin berkembang, Parlimen Ukraine telah membatalkan perlembagaan Crimea pada tahun 1995 dengan sewenang-wenangnya tanpa sebab munasabah yang kukuh.

Pada hari ini, kaum Tartar masih mendapat tekanan daripada bangsa Russia yang merupakan penduduk majoriti, terutamanya mereka yang seringkali menegakkan kebenaran tanpa berputus asa. Salah seorang daripada mereka yang memberikan tentangan hebat pada sekitar tahun 90-an adalah Omerov. Antara tahun 1995 sehingga 2001, beliau bekerja sebagai penasihat dalam Program Integrasi dan Pembangunan Crimea Bangsa-bangsa Bersatu. Malangnya, beliau dan isterinya dibunuh di rumah mereka di di Simferopol pada malam 18/19 September 2004. Sewaktu pendakwaan terhadap kes bunuh tersebut dijalankan, para peguambela giat menjalankan siasatan untuk memastikan samada pembunuhan tersebut ada kaitan dengan konspirasi politik tertentu atau tidak.

Akhirnya setelah sekian lama berusaha, kaum Tartar menjadi putus asa dalam menuntut hak mereka. Walaupun merupakan kumpulan minoriti, mereka masih mahu mendapatkan hak kewarganegaraan Ukraine, mahu tanah-tanah mereka yang telah dirampas dipulangkan, mahu bahasa Tartar diperakui serta mahu adanya wakil politik dari kalangan mereka di dalam Parlimen. Sayangnya permintaan mereka selalu diketepi dan dibakulsampahkan.

Pada akhir bulan Oktober 2004 sehingga hampir kepada hari pengundian presiden Ukraine, ketegangan antara pro-Russia yang merupakan kumpulan majoriti dan Kaum Tartar amat membimbangkan.

Menurut akhbar Kiev Post bertarikh 30 September 2004, bukan sahaja bahan-bahan propaganda calon pro-barat dirampas, malah menurut Yulianna Vilkos di dalam akhbar yang sama, satu perempat dari penduduk Ukraine percaya bahawa serangan pengganas seperti di Beslan tidak mustahil akan berlaku di Ukraine. Tambahnya lagi, 50% penduduk Ukraine sepatutnya tahu bahawa tindakan keganasan ini ada kaitannya dengan penglibatan Ukraine dalam konflik di Iraq (Ukraine merupakan negara keempat terbesar yang menghantar tenteranya dalam misi ke Iraq) serta campur tangan kerajaan Ukraine dalam konflik Chechnya – Russia.

Ancaman perkauman secara terbuka dan senyap

Walaubagaimana sekalipun ancaman perkauman samada secara terbuka atau senyap itu mengganggu gugat kehidupan seharian mereka, dua wanita Ar-Raid, Olga dan Moumina terpaksa menelan pahit segalanya. Mereka menceritakan pengalaman pahit yang pernah menimpa mereka dalam suatu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Seperti beratus-ratus orang yang lainnya, mereka empat sekawan, dua bertudung dan dua lagi tidak, sedang menikmati keindahan panorama sambil berjalan-jalan di sepanjang pantai di Alushta yang terletak di Laut Hitam.

Kerana ingin menangkap gambar sebagai kenang-kenangan, mereka meminta pertolongan seorang wanita yang sedang duduk berehat di tepi pantai berhampiran untuk menangkap gambar mereka. Akan tetapi, sebaliknya wanita tersebut menjerit kepada mereka meminta agar menjauhkannya dari beg plastik yang dibawa oleh mereka kerana khuatir beg plastik tersebut mungkin mengandungi bahan letupan. Berasa sedih dan malu diperlakukan begitu, mereka berlalu pergi dan hilang selera untuk menikmati bekalan sandwich serta air jus yang dibawa di dalam beg plastik tersebut.

Usaha melawan kemiskinan dan Islamofobia

Kaum Tartar Crimea bukan sahaja menerima tekanan dari segi kewangan, akan tetapi mereka juga terpaksa berhadapan dengan propaganda Islamofobia yang tersebar luas.

Dalam usaha untuk memastikan bantuan kewangan tersebut benar-benar membantu keluarga yang berhak, pihak Ar-raid dengan sendirinya telah melawat dan melihat keadaan hidup keluarga Tartar Crimea yang amat mendukacitakan. Bersama-sama dengan pihak berwajib tempatan, mereka membuat senarai penduduk-penduduk termiskin untuk dihulurkan bantuan kewangan. Hubungan yang baik dengan organisasi sosial yang lain serta beberapa orang personaliti penting membolehkan Ar-raid mendapatkan sumbangan-sumbangan peribadi bagi membantu mereka yang memerlukan.

Setakat ini, Ar-Raid telah pun membantu 400 orang anak-anak yatim serta penjaga mereka di Crimea di samping menganjurkan lawatan tahunan serta aktiviti khemah ibadah musim panas untuk mereka. “Alhamdulillah, organisasi Ar-Raid ini telah memberikan banyak bantuan; ini adalah tanggungjawab kami sebagai saudara sesama Islam. Pencapaian terbaru kami kini masih di dalam pembinaan”, maklum Moumina bangga sambil menunjukkan kompleks bangunan baru yang sedang dibina di kawasan Ar-Raid yang berhampiran.

Pusat wanita yang baru itu, dibina atas inisiatif wanita Muslim Tartar, sudah mula beroperasi pada awal tahun 2005. Beberapa buah kelas, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika, dapur serta pusat penjagaan kesihatan badan dan dewan komuniti tersedia untuk kegunaan ahli. Kaum Tartar juga boleh belajar bahasa Tartar (yang tidak diajar di sekolah-sekolah di Ukraine) dan juga tradisi kebudayaan mereka di sini.

Seperti mereka yang lain, Oksana dan Natasha juga tertarik dengan tawaran daripada Ar-raid melalui iklan-iklan dari surat khabar. Berita tentang program-program kebajikan Ar-raid ini telah tersebar dengan cepat terutamanya di kalangan penduduk-penduduk miskin.

“ Sesiapa sahaja yang datang mengetuk pintu ini, akan dilayan. Kami tidak membezakan samada mereka penganut Kristian atau Muslim. Kriteria yang diberikan perhatian utama adalah kepada mereka amat memerlukan bantuan”, kata Moumina dengan yakin.

Sifat peramah dan keterbukaan ahli-ahli di Pusat Islam Ar-Raid jelas kelihatan di sebalik kehidupan seharian penduduk Kiev yang agak suram. Satu persoalan yang mungkin wujud iaitu adakah penduduk Muslim yang merupakan kumpulan minoriti akan bersatu dan diterima oleh penduduk Ukraine lainnya suatu hari nanti. Di sini juga kedengaran ungkapan stereotaip yang sering tercetus tentang badan pertubuhan Muslim seperti di tempat-tempat lain di dunia. Alangkah bagus andainya ungkapan “Oh, Organisasi Muslim…”, boleh bertukar menjadi sebuah kenyataan yang boleh boleh diterima oleh semua masyarakat.

Ursula Mollet, Osteuropa-Institut, Universitaet Fribourg (Switzerland)
Kiev, 7 Oktober 2004


Program-program kebajikan masyarakat

Bukanlah menjadi rahsia lagi bahawa setiap Muslim di Crimea amat memerlukan bantuan dan sokongan – terutamanya kaum Tartar. Atas bantuan kewangan dari Ar-Raid, kawasan penempatan Tartar di Republik Autonomos Crimea kini dilengkapi dengan kemudahan mata air yang digali bagi berbagai kegunaan terutamanya sebagai bekalan air minuman. Projek ini dijalankan kerana 40% dari mereka yang pulang tidak disediakan dengan kemudahan bekalan air yang bersih dan lengkap. Projek “Satu Keluarga satu Lembu” juga berjalan dengan lancar dan hampir 450 orang keluarga mendapat bekalan seekor lembu masing-masing dan berjanji akan memberikan baka lembu pertama yang lahir kepada mereka lain yang juga memerlukan. Selain daripada itu, stesen rawatan kecemasan di Bakhchisaray untuk lebih daripada 500 orang juga telah dibuka dan mula berfungsi. Bantuan yang berterusan juga diberikan kepada sekolah-sekolah di Crimea dalam menyediakan ubat-ubatan untuk stesen rawatan kecemasan masing-masing.

Baru-baru ini, Ar-Raid telah memulakan pembinaan rumah hijau di Crimea. Kini, telah hampir 12 buah rumah hijau dibina dan golongan yang memerlukan mempunyai peluang yang cerah untuk memulakan perniagaan serta mengungukuhkan kedudukan ekonomi mereka.

Di bawah kendalian organisasi ini, lebih daripada 600 orang anak yatim telah diberi bantuan dari segi keperluan harian dan sokongan moral. Berbagai aktiviti menarik seperti aktiviti berkelah serta khemah kebudayaan dan kesihatan musim panas dianjurkan dari masa ke semasa untuk mereka. Program-program kebajikan juga diadakan di rumah-rumah anak yatim seperti menyediakan bekalan lampin, pakaian panas, barangan permainan kanak-kanak dan pakaian-pakaian lainnya.

Tidak lupa juga kepada golongan kurang upaya dan orang-orang tua. Mereka juga menerima bantuan kemanusiaan dari masa ke masa. Mangsa-mangsa kemalangan di lombong Donbass juga diberi perhatian yang sewajarnya oleh organisasi ini.


PelajaR Malaysia dengan Penduduk Islam Tempatan  

Posted in









Akikah  

Posted in

Perbezaan Antara Qurban dan Akikah

Antara perbezaan korban dan aqiqah ialah:

1. Daging korban lebih utama disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah iaitu belum dimasak. Manakala daging aqiqah lebih utama disedekah kepada fakir miskin dan boleh juga kepada orang-orang kaya dalam keadaan sudah dimasak.

Hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah menyatakan bahawa:

“menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” (maksud hadis)

2. Daging aqiqah sunat dimasak dengan yang manis-manis, dengan do'a harapan agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak menjadi manis dipandang orang.

3. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat dipotong pada sendi-sendinya manakala tulang-tulang haiwan korban tidak sedemikian.

4. Tempoh menyembelih korban hanya 4 hari dalam setahun, iaitu 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah sedangkan menyembelih haiwan aqiqah tidak terbatas kepada hari-hari tersebut, bahkan dapat dibuat pada mana-mana hari yang sesuai..

5. Tuntutan melakukan aqiqah hanyalah sekali sahaja sepanjang hayat, manakala tuntutan melakukan korban ialah setiap tahun hijrah.


Takrif Akikah

Aqiqah menurut bahasa ertinya "rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir." Demikian pendapat 'Ubaid, Ashmu'i dan Zamakhsyari. Menurut istilah hukum syara', aqiqah ialah "penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu."

Menyembelih aqiqah adalah sunat muakkad.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama".

Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa aqiqah itu melepaskan bayi tesebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.



Hukum Akikah

Imam Syafi'e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya." (Maksud hadis riwayat Tirmidzi)

"Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama." (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah swt sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail a.s.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.


Kadar Haiwan Akikah dan Masa Akikah

Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.

Jenis Haiwan Umur Minima
1. Kibas Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan
2. Biri-biri, domba dan kambing melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan / hadapannya
3. Lembu dan kerbau melebihi dua tahun
4. Unta melebihi lima tahun

Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.




• Yang lebih utama untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah dua ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, kerana ada hadis riwayat Aisyah yang maksudnya:
"Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor."

• Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w telah membuat aqiqah Hasan dan Husin, masing-masing seekor kibas.

• Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.

• Malik, Asy Syafi'e, Ahmad dan jumhur ulama berpendapat, aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri (sama seperti ibadah korban). Juga dibolehkan seekor unta atau seekor lembu misalnya dikongsi sehingga tujuh orang walaupun ada bahagian daripada lembu atau unta itu bukan untuk aqiqah.

• Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga anak itu dewasa (baligh).

• Apabila anak sudah dewasa, maka sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.

• Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah dirinya sendiri.

Qurban  

Posted in

Syariat Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah."
Al-Kautsar:


2. Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

"Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya."

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)



Hukum Korban

Hukum berkorban adalah sunnah muakkadah.

Sebahagian ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa berkorban hukumnya wajib bagi orang yang mencukupi nasab zakat. Antara rujukan mereka adalah hadis yang bermaksud:
"Barangsiapa berkelebihan (dalam harta) tetapi tidak meyembelih haiwan korban, janganlah dia mendekati masjidku." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)



Memakan Daging Korban

Daging korban wajib, contohnya seperti korban nazar adalah haram dimakan oleh orang yang berkorban. Daging korban sunat pula, contohnya seperti korban Eidul Adha adalah sunat dimakan oleh orang yang berkorban sekadar untuk sekali makan, selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Diutamakan fakir miskin daripada keluarga, kemudian fakir miskin yang menjadi jiran tetangga.


Jantung hati ternakan korban sunat dimakan, kerana menurut hadis riwayat Al-Baihaqi:

"Rasulullah s.a.w memakan hati korbannya."

Allah swt juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah swt surah Al-Haj 28 yang bermaksud:

"Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir."

Daging dan kulit haiwan korban dilarang diperjualbelikan, kerana menurut hadis riwayat Al-Hakim yang disahihkannya, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjual kulit korbannya maka tidak ada korban baginya."

Demikian pula tidak boleh memberikannya kepada penyembelih sebagai upah. Kulit ternakan korban halal dimanfaatkan oleh yang empunya, seperti membuat bekas air dan sebagainya.



Fadhilat Korban

Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali. Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat

• Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 Malaikat yang mendoakan dan meminta ampunkan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.

• Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail a.s. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim."

• Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad s.a.w, sesuai dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w:

"Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban."

• Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat."



Orang-Orang yang Dianjurkan Berkorban

Golongan yang dianjurkan atau diperintahkan untuk melaksanakan ibadah korban ialah:

· Orang Islam

· Merdeka

· Baligh (Dewasa)

· Berakal - berdasarkan ini, korban tidak diperintahkan kepada orang kafir, hamba sahaya, anak-anak dan orang gila.

· Mampu - apa yang dimaksudkan dengan mampu ialah

Orang yang mempunyai kelebihan belanja dan keperluan hidup diri dan tanggungannya seisi keluarga pada hari Eidul Adha dan tiga hari sesudahnya, iaitu hari Tasyrik, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Orang yang mampu makruh meninggalkan ibadah korban, kerana Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempunyai kelapangan tetapi tidak berkorban, maka hendaklah dia mati dalam keadaan mati Yahudi atau mati Nasrani, jika dia mahu."

Hadis lain pula menyatakan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

"Sesiapa yang mempunyai kelapangan, tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami."

Sunat hukumnya berniat untuk melaksanakan ibadah korban bagi orang yang berkorban pada tanggal 10 Zulhijjah, tidak membuang rambut atau bulu-bulu yang ada di tubuhnya, seperti berpangkas, mencukur misai atau janggut, memotong kuku dan sebagainya, hingga haiwan korbannya selesai disembelih.

Ummu Salamah menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu melihat awal bulan Zulhijjah, dan salah seorang di antara kamu bermaksud akan berkorban, maka hendaklah ia menahan rambut dan kuku-kukunya."



Haiwan Korban

Jenis haiwan yang sah untuk dijadikan haiwan untuk ibadah korban adalah:

1. Kibas, biri-biri atau domba
2. Kambing
3. Lembu, kerbau
4. Unta

Haiwan-haiwan tersebut haruslah jinak, yang terdiri daripada haiwan ternak atau peliharaan. Haiwan liar seperti kambing hutan atau seladang yang hidup di dalam rimba, tidak sah dijadikan korban.
Umur minima bagi haiwan yang boleh dijadikan korban ialah:

1. Kambing, kibas, biri-biri atau domba, lebih satu tahun.
2. Lembu, lebih dua tahun.
3. Unta lebih lima tahun.

Rupa bentuk serta kesihatan haiwan korban telah ditentukan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud:

"Empat perkara yang tidak boleh pada haiwan korban ialah yang nyata benar buta matanya, yang nyata benar sakitnya, yang nyata benar pincang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya (Riwayat Tarmizi)

Haiwan yang patah tanduknya tetapi tidak sampai mengurangi daging, sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang patah tanduknya, tercabut sampai ke pangkalnya sehingga mengurangi daging, tidak sah dijadikan korban. Haiwan yang putus telinga atau putus ekornya, jika masih melekat atau belum terpisah dari asalnya, sah dijadikan korban. Akan tetapi jika terpisah dari badannya, tidak sah dijadikan korban.

Jantina haiwan korban bukan merupakan syarat sah korban. Sah dijadikan korban haiwan jantan, betina ataupun kunsha. Haiwan yang sedang hamil tidak sah dijadikan korban. Akan tetapi haiwan yang dikebiri (dikasi), boleh dikorbankan, kerana hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan lain-lainnya ada menyatakan:

"Bahawa Rasulullah s.a.w. telah berkorban dengan dua ekor kibas yang telah dikebiri."

Manakala dalam riwayat Imam Ahmad pula, Abu Rafi'i berkata:

"Rasulullah s.a.w. berkorban dengan dua ekor kambing yang putih kehitaman dan buah zakarnya telah mengembang sehingga dagingnya lebih baik dan enak. Kemudian beliau meyerukan untuk berlumba-lumba memilih haiwan korban yang terbaik."



Kadar Haiwan Korban

Seekor kambing atau biri-biri merupakan kadar minima ibadah korban yang cukup untuk satu keluarga. Pendapat ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh At-Tarmidzi dan Ibnu Majah dari 'Athaa ibn Yasar, ujarnya:

" Aku telah bertanya kepada Abu Ayub Al-Anshary: Berapakah korban yang tuan-tuan lakukan pada masa Rasulullah? Abu Aiyub menjawab: Ada seorang lelaki pada masa Nabi s.aw. berudhiyah seekor kambing untuk dirinya dan ahli keluarganya. Mereka makan sebahagian daging itu dan sebahagian diberikannya kepada orang lain, hingga manusia telah termengah-mengahan dengan udhiyah itu, dan terjadilah seperti engkau persaksikan sekarang ini."

Seekor lembu atau unta boleh dikongsi 7 orang, kerana menurut hadis Muslim dari Jabir:

"Pada musim haji, Rasulullah s.a.w. telah menyuruh kami berkongsi 7 orang pada seekor unta dan seekor lembu."

Hadis lain yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Al-Barqani menyatakan:

"Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada kami: "Berkongsilah kamu dengan seekor unta dan lembu, untuk 7 orang seekor."

Di samping itu, pernah para sahabat berkongsi 10 orang untuk satu unta yang dijadikan korban tanpa dilarang oleh Rasulullah s.a.w.



Waktu Penyembelihan

Waktu penyembelihan haiwan korban bermula apabila khatib turun dari atas mimbar selepas khutbah solat Eidul Adha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenamnya matahari pada 13 Zulhijjah.

Maka tempoh menyembelih haiwan korban hanya empat hari dalam setahun iaitu pada 10,11,12 dan 13 Zulhijjah.

Sesiapa yang menyembelih korban sebelum atau sesudah waktu itu, tidak sah korbannya, kerana maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyatakan:

"Yang mula-mula kami perbuat pada hari kami ini (hari raya haji) ialah kami solat kemudian pulang, lalu kami meyembelih. Sesiapa berbuat begitu maka dia sesuai dengan sunah kami. Sebaliknya sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka sesungguhnya itulah daging yang disuguhkan kepada keluarganya tidak sedikitpun termasuk ibadat (korban)."



Mewakilkan Korban

Said Sabiq dalam kitabnya "Fiqhus Sunnah", membolehkan daging korban dipindahkan ke negeri lain.

Juga dibolehkan wang dari suatu negara ke negara lain dengan tujuan untuk membeli haiwan korban dan menyembelihkannya di negeri itu.

Said Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mazhab Syafi'e di Mekah, pernah ditanya orang tentang masalah itu dan juga apakah sama hukumnya dengan aqiqah?

Said Al-Bakri dalam kitabnya "I'anatut Thalibin" memuat jawapan terhadap pertanyaan tersebut, jawabnya ialah sah dan boleh berwakil untuk pembelian korban dan aqiqah dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya di luar negeri.

Imam kita (mazhab Syafi'e) berpendapat bahawa orang yang halal sembelihannya boleh berwakil kepada orang lain untuk menyembelih korban. Dan boleh pula berwasiat untuk membeli haiwan dan menyembelih korban. Sedangkan yang empunya korban itu sunat menyaksikan upacara penyembelihan korbannya.

Dalam hal ini hukumnya adalah sama dengan hukum untuk ibadah aqiqah.

Penentuan hukum ini bersandarkan sebuah riwayat yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w pernah mengirim haiwan hadiah (korban) dari Madinah ke Mekah untuk disembelih di Mekah.

Walaupun begitu, tidak boleh seseorang melakukan korban bagi pihak orang lain kecuali dengan izin orang yang bersangkutan itu. Syarat ini tidak termasuk ibadah korban yang dilaksanakan untuk ahli keluarga sendiri .

Maka ayah boleh menyembelih korban untuk anaknya, dan begitu juga sebaliknya, anak boleh menyembelih korban ibu yang menjadi tanggungannya, meskipun yang bersangkutan tidak diberitahu.

Adapun orang yang sudah mati sedangkan pada masa hidupnya ada berwasiat untuk berkorban, maka ahli warisnya hendaklah melaksanakan korban untuknya. Wasiat itu dianggap sebagai izinnya.



Menyembelih Korban

Perkara yang disunatkan ketika penyembelihan korban adalah:
1. Bermula dengan "Bismillahir rahmanir rahim." Imam Malik menyatakan bahawa setiap penyembelihan yang tidak bermula dengan "bismillah" hukumnya haram, baik ditinggalkan dengan sengaja atau lupa.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat, jika ditinggalkan dengan sengaja, haram, tetapi jika ditinggalkan kerana lupa, halal. Imam Syafi'e berpendapat sunat membacanya. Jika tertinggal baik dengan sengaja atau lupa, hukumnya halal, asal saja penyembelih itu orang yang mengetahui.

2. Takbir tiga kali sesudah membaca bismillah.

3. Selawat dan salam kepada Nabi s.a.w.

4. Mengadap kiblat.

5. Doa supaya korban itu diterima oleh Allah, seperti membaca:

Maksudnya: "Ya Allah, nikmat ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, maka terimalah daripadaku."

6. Mengasah pisau supaya lebih tajam.

7. Menyorong dan menarik serta menekan pisau dengan kuat ke leher haiwan.

8. Membaringkan haiwan itu dengan lambung kirinya ke tanah atau tangan kiri penyembelih sebelah kepala haiwan.

9. Mengikat semua kakinya dengan tali kecuali kaki kanan sebelah belakang.

10. Sembahyang sunat dua rakaat, selepas menyembelih seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Buangkan pisau yang ada di tanganmu, kemudian rukuklah (solatlah) dua rakaat kerana sesungguhnya tiada seorang yang solat dua rakaat (selesai meyembelih) dan memohon sesuatu kepada Allah, melainkan Allah akan memperkenankannya."